Sementara menunggu pensyarah masuk ke kelas, sempat aku menghubungi emak yang berada di kampung.
Beep..beep..beep
" Assalamu'alaikum..." seperti biasa, suaranya yang lembut terlebih dahulu memberi salam kepadaku.
" Wa'alaikumussalam wbt...Mak, buat apa tu? " Entah mengapa setiap kali berbicara dengan emak, hati ini tenang sekali.
" Tak ada buat apa, tengah duduk-duduk je... " Ya lah tu.. Getus hatiku. Aku tahu sangat emak sebenarnya selalu sibuk dengan pelbagai urusan, tetapi sengaja menyembunyikannya dari pengetahuanku. Mulia sungguh hati emak, sangat mengutamakan diriku berbanding dirinya.
" Mak... Selepas habis final exam nanti ada kawan Angah nak nikah. Rumah dia belah selatan sana. Kita ada apa-apa program ke masa tu? "
" Kawan yang mana pula nak nikah ni? " Haish mak ni, lain yang ditanya, lain yang dijawabnya.
Suasana sepi seketika. Ini sudah kali ke berapa aku mengkhabarkan kepada emak tentang pernikahan sahabat-sahabatku. Sudah lebih lima kali barangkali.
" Kawan sekelas, satu kuliah dengan Angah ni mak.. "
" Ya ke... Ramainya kawan Angah nak kahwin. Mak risau kawan-kawan kamu semua kahwin awal, tinggal kamu yang belum kahwin.."
Erk.
Terdiam aku dibuatnya. Hilang kata-kata yang sebentar tadi ku susun di kepala, tinggal untuk diluah sahaja.
" Mak.... Mak yang selalu nasihat Angah sebelum ni untuk percaya kepada perancangan Allah.." Hatiku sebak, entah kenapa. Ish, complicated sungguh hati perempuan. Aku menggerutu sendiri.
" Kenapa lah kamu tolak bila ada orang masuk melamar.." Sayup-sayup aku dengar suara emak di hujung talian.
" Mak.... Tiada yang lebih membahagiakan seorang anak melainkan dapat memenuhi permintaan Abahnya supaya habiskan dulu pelajaran ni. Kawan-kawan Angah bertemu jodoh di awal usia, itu semua aturan Allah yang moga-moga terbaik buat mereka. Angah yakin dengan jalan yang Angah pilih. Mak pun tahu Angah dah istikharah dan sebagainya. Angah bukan tolak mentah-mentah. "
Suasana kembali sepi.
" Mak, kalau ada jodoh tak kemana kan...? Sekarang masanya tak sesuai untuk berkahwin. Untuk memilih pun masih terlalu awal. Redha dan kebahagiaan Abah adalah keutamaan Angah. Selagimana ketaatan ini tidak dimiliki seorang suami, selagi itulah Angah akan taat dan hormat keputusan Abah. " aku kembali bersuara.
Aku dengar suara emak kembali ceria. " Ya lah, mak tahu...Mak saja nak test.. Baguslah jika itu keputusan Angah. Mak senang hati Angah nak bantu Abah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sempurna. Tanggungjawab terakhir Abah sebelum Angah bernikah adalah memastikan Angah ada ijazah, mampu untuk sekurang-kurangnya berdiri di atas kaki sendiri."
Aku juga kembali tersenyum. Semoga Allah meredhai pilihan ku ini, yang mana aku yakin kekuatan ini juga datang dari-Nya.
" Baiklah mak... Pensyarah dah masuk kelas. Nanti kita sembang lagi ya. Peluk cium untuk Abah. Pastikan peluk cium betul-betul tau." Hahaha, sengaja aku mahu mengusik emak.
" Hishhh ada-ada Angah ni. Ya lah, belajar baik-baik.Assalamu'alaikum."
Kehidupan, yang pasti akan dihiasi dengan pelbagai kejutan yang tidak disangka-sangka. Semakin dewasa, semakin pelbagai pula aneka warna kisahnya.
Tetapkan matlamat dan mintalah Allah untuk tunjukkan jalan dan cara untuk mendapatkan yang terbaik. Kisah kita tidak akan serupa sama sekali dengan kisah orang lain. Allah ada perancangan-Nya buat kita. Apa yang kita perlu lakukan hanyalah berdoa dan yakin sungguh-sungguh dengan apa sahaja yang berlaku, bahawa Allah tidak pernah zalim terhadap hamba-Nya.
No comments:
Post a Comment