Sudah lama aku mahukan sebuah basikal. Wang untuk membelinya juga sudah aku kumpul cuma aku belum berkesempatan untuk ke kedai basikal. Bajetku tidak banyak, sekitar RM200-RM300 sahaja mengikut harga standard sebuah basikal biasa.
Suatu pagi, ketika mana aku sedang bersarapan bersama Ayah, mulutku ini terlepas bicara.......
" Ayah, Kak Cik nak beli basikal..." Aduh. Aku mengetuk kepala sendiri. Buat apa beritahu Ayah? Getus hati kecilku.
Seperti biasa, jawapan Ayah cukup ringkas......dan padat. " Okay, nanti kita pergi beli. "
" Tapi Kak Cik nak beli sendiri. Kak Cik dah ada duit.." Ayah sekadar mengangguk-anggukkan kepalanya sambil segera menghabiskan makanannya, beliau perlu segera keluar bekerja.
Setelah pulang dari kerja, Ayah menegurku yang sedang bermalasan di sofa.
" Jadi ke nak beli basikal? "
Belum sempat aku menjawab, Ayah terus menyambung ayatnya. "Tunggu Ayah solat Asar. " Kemudian beliau terus berlalu ke biliknya.
Setibanya kami di kedai basikal, aku perhatikan Ayah begitu bersungguh-sungguh memilih basikal yang terbaik untuk anak perempuannya ini. Tauke basikal juga kelihatannya penat melayan kami. Pelbagai jenis basikal telah beliau tunjukkan kepada Ayah. Aku cuma mengikut dari belakang sambil memerhati dan mendengar bicara seorang Ayah..
" Mesti beli yang ada gear sebab UIA kawasan berbukit.. Anak saya belajar di sana. "
" Mesti beli yang women-friendly supaya bila dia pakai skirt pun boleh guna. Dia selalu pakai kain. "
" Mesti beli yang boleh lipat supaya mudah nak simpan. "
" Mesti beli yang boleh letak buku supaya senang nak ke kelas. "
" Mesti beli yang ada loceng untuk keselamatan (?)....."
Terasa panas mukaku. Mataku bergenang air jernih...Hampir menitis, tetapi ditahan.
" Ayah...." Hatiku berbisik. " Aku sendiri tidak pernah terfikir semua perkara yang beliau sebutkan, semuanya untuk kepentingan aku. Allah.... Bagaimana mungkin aku mampu untuk tidak mencintai lelaki ini sepenuh hatiku? "
" Basikal ini okay ke? Kak Cik berkenan ke? Akan guna sentiasa tak?" Soalan bertubi-tubi dari Ayah mematikan lamunanku.
" Hmm? Berapa harganya ni? " Aku bertanya dan soalanku telah dijawab oleh tauke kedai tersebut.
Mahu terbeliak mata! Mana tidaknya, harga basikal tersebut melebihi bajet yang aku ada.
" Mahalnya.. " Getus hatiku.
Suasana sepi seketika. Ayah masih sedang meneliti basikal berwarna merah yang ada di hadapan kami.
" Okay tauke. Saya angkat ini basikal. " tiba-tiba Ayah bersuara. Sekali lagi mukaku terasa panas. " Ayah, mahal ni.... Kak Cik nak beli yang range harga RM200-RM300.."
" Takpelah. Alang-alang beli, beli yang elok terus. Kak Cik beli yang harga macam tu, tak tahan lama..."
Aku terdiam. Sekadar membiarkan beliau yang masih sibuk menguruskan basikal. Disuruhnya pekerja di kedai basikal tersebut supaya mengajar aku cara melipat basikal dengan betul dan sebagainya.
Ayahhhhh. Sungguh, aku rasa seperti mahu peluk beliau pada saat itu ketika itu juga tetapi aku terlalu malu. Buang tabiat kata orang.
Begitu seorang Ayah menunjukkan cinta, bukan melalui kata-kata, tetapi melalui perbuatannya, yang hanya boleh disedari dengan memerhati dan menghargai setiap apa yang dibuatnya.
I do not put a high expectation on how a man should treat me, but my father has shown me a standard on how I should be treated, as a woman.
Ayah, aku sayang Ayah.
No comments:
Post a Comment